Lima universiti tempatan antara 100 terbaik Asia
KUALA LUMPUR: Universiti Sains Malaysia (USM) yang menjadi universiti Program Pemacuan Untuk Kecemerlangan (Apex) pertama negara, menduduki tangga ke-69 di belakang Universiti Malaya (UM) serta Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang masing-masing pada kedudukan ke-39 dan ke-51 dalam senarai 100 universiti terbaik Asia.
Penarafan universiti serantau yang pertama kali dikeluarkan oleh QS Quacquarelli Symonds Ltd, iaitu penyusun Times Higher Education-QS World University Rankings, turut menyenaraikan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) pada tangga ke-82 dan Universiti Putra Malaysia (UPM) ke-90.
Pengarah Urusan QS, Nunzio Quacquarelli, berkata keputusan penarafan QS.com Asian University Ranking dibuat berdasarkan ukuran kecemerlangan serantau sesebuah universiti.
Beliau berkata, universiti terbaik bukan hanya cemerlang dari segi kualiti, malah produktiviti tinggi dalam penyelidikan berbanding universiti lain.
"Prestasi universiti Malaysia adalah baik dengan bilangan pelajar antarabangsa dan fakulti yang banyak. Keputusan ini menjadikan belajar di Malaysia sebagai pilihan menarik kepada pelajar antarabangsa," katanya dalam satu kenyataan semalam.
Sementara itu, tiga universiti di Hong Kong menduduki lima tangga terbaik dalam senarai penarafan dengan University of Hong Kong pada tangga teratas, diikuti The Chinese University of Hong Kong, kedua dan Hong Kong University of Science and Technology keempat.
University of Tokyo dan Kyoto University di Jepun masing-masing menduduki tangga ketiga dan kelima.
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, ketika dihubungi bagaimanapun menolak tanggapan kejayaan UM dan UKM mengatasi kedudukan USM dalam penarafan antarabangsa itu adalah petanda buruk kepada Program Pemacuan Untuk Kecemerlangan (Apex).
Sebaliknya, beliau menegaskan, pemilihan USM merintis program Apex pada September lalu berdasarkan potensinya itu untuk dilonjakkan kecemerlangan sehingga mencapai tahap dunia, tetapi bukan sudah mencapai tahap tertinggi Apex seperti disangka banyak pihak.
Tambahan pula, katanya, keberkesanan program itu membabitkan beberapa tahun dan bukan kejayaan serta-merta, manakala UM pula memang diketahui memiliki kekuatan tersendiri.
"Justeru, keputusan penarafan ini akan menjadikan USM perlu lebih gigih untuk mewajarkan ia dipilih dalam program Apex. Kementerian akan jumpa semua universiti yang termasuk dalam senarai penarafan itu dan melihat bagaimana dapat memperbaiki kedudukan pada masa depan," katanya.
Naib Canselor UM, Datuk Ghauth Jasmon, pula bersyukur dengan keputusan penarafan berkenaan dan mengakui universiti itu berazam terus meningkatkan kecemerlangan.
"Kita bekerja keras untuk mencapai kejayaan dan antara faktor penyumbang utama ialah kecemerlangan dalam bidang penyelidikan. Kita akan menggiatkan usaha menerokai penyelidikan berkualiti tinggi, sekali gus meningkatkan kedudukan dalam penarafan universiti terbaik dunia," katanya.
No comments:
Post a Comment